Filem Alive


ALIVE

Saya lebih cenderung ke arah cerita sebegini.Walaupun ceritanya seakan sama dengan cerita ' Train To Busan ' atau mana-mana cerita korea yang berkaitan dengan zombie ,  belum lagi rasanya saya menidakkan mata saya untuk meneruskan tontotan filem sebegini hingga ke garisan penamat. 

Mungkin disebabkan semangat juang yang diketengahkan dalam cerita ini , berjuang untuk mempertahankan serta menyelamatkan diri untuk terus hidup yang menjadi tarikan saya. 

Kagum dengan pengarah filem ini yang berani mempertaruhkan tenaga serta wangnya untuk menghasilkan filem ini dengan meletakkan hanya dua orang sahaja pelakon utama manakala yang lainnya hanya watak tempelan sebagai zombie. Lokasinya pula hanya sekitar dua buah blok apartment sahaja. 

Bayangkan dengan serba serbi terhad ala-ala filem save bajet ,  tetapi saya masih lagi menonton tanpa kelip hingga akhir cerita. 

Mengisahkan seorang pemuda Joon Woo dan seorang gadis Yoo Bin sama-sama terperangkap di dalam kediaman masing-masing berlainan blok yang bertentang antara satu sama lain. 

Bermula dengan Joon Woo yang hampir putus asa dan hilang semangat untuk meneruskan hidup pada hari ke dua puluh kerana kehabisan bekalan makanan dan minuman serta talian internet terputus membuatkannya sudah merasakan bahawa tiada peluang baginya untuk meneruskan hidup dengan suasana di sekeliling kediamannya dipenuhi dengan makhluk zombie yang berkeliaran sana sini. 

Pada hari kedua puluh dia cuba menamatkan hayat hidupnya dengan menggantungkan diri di rumahnya. Melihatkan situasi tersebut ,  Yoo Bin gadis yang berada di bangunan bertentangan berjaya menggagalkan niat Joon Woo untuk membunuh diri dengan memberikan isyarat bahawa dia tidak keseorangan. 

Bermula dari hari tersebut mereka saling berkomunikasi dengan menggunakan bahasa isyarat agar tidak diketahui oleh zombie yang sentiasa dahagakan darah serta daging manusia yang masih hidup. 

Setelah kata sepakat di ambil mereka nekad untuk keluar dari kediaman masing-masing untuk bertemu di blok tingkat lapan seperti yang dipersetujui sebelum meneruskan perjuangan habis-habisan dalam menyelamatkan nyawa masing-masing. 

Untuk saya filem ini saya beri 5/5. 

Suka saya melihat semangat serta ketabahan mereka dalam menyelamatkan diri dari menjadi mangsa zombie. Ketika hilang kewarasan akal serta semangat makin ke penghujungnya ,  ada yang hadir hulurkan tangan memberikan harapan untuk meneruskan kehidupan. 

Dalam cerita ini seolah ingin memberitahu pada semua termasuk saya bahawa setiap dikalangan kita sebagai manusia terdapat dua pilihan bagi menentukan kesinambungan kisah hidup kita serta hala tuju seterusnya ,  samaada memilih untuk putus asa dengan menamatkan riwayat hidup sendiri atau bangun berjuang habis -habisan untuk menyelamatkan diri demi kehidupan seterusnya di mana adanya sang pelangi sedang menanti di balik awan untuk memberi kebahagiaan bagi kita yang sentiasa bersabar .

10/10

Comments

Popular Posts