Hanya kerana sebekas Apam Beras


Corat - coret sekadar bercerita. 

Tadi petang selepas membasuh baju di dobi ,  saya singgah sebentar di satu warung yang berhampiran dalam perjalanan pulang ke rumah . 

Pelbagai juadah yang menggoda nafsu makan saya . Semuanya nampak sedap belaka dan susun atur makanan tersebut tampak kemas dan menarik .  Mudah pelanggan untuk membuat pilihan juadah yang dikehendaki . 

Bukan menu makanan yang ingin saya ceritakan di sini . 

Sedang saya memilih dan menunggu penjual membungkus makanan yang saya beli , ada seorang pakcik yang berpakaian agak lusuh menaiki motor usang berhenti di hadapan warung kecil ini .  Saya ke tepi memberi laluan kepada pakcik tersebut untuk membeli makanan yang diingininya. 

Terdengar pakcik tu bertanyakan harga juadah kuih apam beras yang berbentuk bunga ros besar yang siap dipacking 5 biji dalam satu bekas . 

Peniaga tersebut menjawab soalan pakcik tersebut dengan memberikan harga kuih tersebut iaitu Rm3.50 sebekas . 

Pakcik tu ulang tanya lagi harga kuih tersebut dan penjual mengulangi lagi harga kuih tersebut . Pada tanggapan saya mungkin pakcik tersebut tak mendengar harga yang diberikan . Tetapi pakcik tu masih lagi mengulang tanya soalan yang sama sampai 3 - 4 kali dan penjual masih melayan soalan pakcik tu . Kemudian pakcik tu terus memberitahu tak apalah tanya je,  kemudian berlalu menuju ke motorsikal yang di parking belakang tempat saya menunggu bungkusan makanan saya siap . 

Tanpa sengaja atau mungkin Allah gerakkan hati saya untuk berpaling menoleh ke belakang arah pakcik tadi parking motorsikalnya. Pakcik itu masih lagi berdiri di hadapan motorsikalnya sambil berulang kali mengira jumlah wang syiling kepunyaannya yang dikeluarkan dari kocek seluarnya . 

Pandangan saya masih lagi terpaku melihat gelagatnya tak berhenti lagi mengulang kira wang yang ada . Tanpa sedar hati sakit berasa sebak dan mata saya bergenang sambil menyebut perkataan Allahuakhbar di dalam hati . 

Tanpa berlengah sebelum pakcik
tu beredar pergi tanpa juadah kuih yang ingin dibelinya ,  saya terus menyuruh pekerja tersebut bungkuskan kuih yang pakcik tu teringin nak beli tadi. Saya beritahu pada peniaga tersebut ,  saya bayar untuk pakcik tu sekali.  Bungkusan plastik kuih apam beras saya ambil dan berjalan menuju ke arah pakcik tadi yang masih leka mengira wangnya dari tadi . 

Saya hulurkan bungkusan tersebut padanya sambil menegur sapa pakcik tu . 

" Pakcik ,  pakcik teringin makan kuih ni kan...  " tegur saya dengan nada lembut dan jelas. Ternyata pakcik tu tiada masalah pendengaran langsung sebab suara saya agak perlahan ditambah pula pakai mask kalau bagi yang ada masalah mendengar pasti akan tanya semula apa yang saya cakap tadi . 

Pakcik tu angkat kepala dan mukanya agak terkejut dan tampak agak malu bila saya hulurkan juadah tadi lagi sekali. 

" Pakcik ambillah...  Saya bayarkan untuk pakcik ,  ambillah pakcik"  ulang saya lagi . 

Dengan serba salah pakcik tersebut beritahu saya dia sebenarnya nak balik ke rumah untuk ambil duit bagi mencukupi wang yang kurang di tangannya tadi . Saya lihat wajahnya jelas terlihat sayu dan sebak ditambah pula denga genangan airmata di tubir matanya menguatkan tanggapan hati saya bahawa pakcik tiada wang dan teringin makan kuih tersebut. 

" Pakcik ambillah ,  saya sedekahkan pada pakcik"  ujar saya lagi. 

"Tak apalah nak ,  pakcik nak balik ambil duit ni. Rumah pakcik tak jauh mana pun " pakcik tu berdalih cuba untuk menolak pemberian saya. 

Saya lihat muka pakcik tu dengan gengan airmata yang bila-bila masa boleh tumpah keluar dari batasan benteng mata dengan lembut saya cuba memujuk lagi . 

"Pakcik ,  ambillah saya ikhlas pakcik. Saya ni sakit ,  saya tak minta banyak . Saya cuma minta pakcik doakan kesihatan saya dan juga dimurahkan rezeki saya .  Ambillah pakcik " 

Wajah saya ditatap sayu oleh pakcik tu sambil berkata " Allahuakhbar ,  hanya Allah saja yang dapat balas jasa kamu nak .  Semoga Allah merahmati kamu dan permudahkan urusan kamu" 

"Aamiiin"  saya mengaminkan doa pakcik tu ke atas saya. 

Plastik berisi apam beras telah bertukar tangan, sambil mengucapkan salam saya terus berlalu ke kereta saya tanpa berpaling melihat pakcik tadi kerana hati saya tak dapat nak menahan rasa sebak dan sedih melihat pakcik tadi . Seusai masuk dalam kereta sambil start enjin kereta saya terus bergerak pulang ke rumah. 

Sepanjang perjalanan menuju pulang ,  tanpa dapat dibendung airmata keluar membasahi wajah saya sambil berdoa agar ada insan lain pula yang tergerak hati untuk bersedekah makanan kepada pakcik tadi. 

Saya bukan dari kalangan orang yang mampu dari segi kewangan ,  bukan dari kategori kayangan. Saya juga sama seperti pakcik tadi cuma bezanya saya masih mampu membeli serta memiliki segala keinginan saya walau mengambil masa sedikit dengan mengumpul wang hingga cukup baru saya akan beli apa yang saya teringin tu . 

Tetapi pabila Allah ketemukan saya dengan insan yang lebih memerlukan sesuatu ,  saya lebih rela beralah mengeluarkan wang simpanan tersebut untuk memenuhi hajat insan tersebut disamping dapat menggembirakan hati mereka. 

Agak sukar untuk saya mengatakan tidak boleh kepada yang memerlukan.Telinga saya tak dapat saya pekakkan dengan sengaja. Begitu juga dengan mata dan perasaan saya ,  tidak boleh saya butakan dengan buat-buat tidak nampak. Hati saya terlalu lembut dan sensitif lebih-lebih lagi sejak saya menghidap sakit mental Illness. 

Ya.. Saya seorang pesakit mental dibawah pemantauan Doktor Psikiatri. Saya disahkan menghidap Mdd , Psychotic Disorder , Anxiety dan juga Panick Attack . 

Ada hikmah Allah berikan saya penyakit ini selain dari mencuci dosa lampau saya yang saya sedar atau tidak. Allah mahu saya membuka hati saya dengan lebih luas untuk mendekati dan membantu mereka yang memerlukan dengan hadirkan saya hati yang lembut serta terlebih sensitif. 

Teringat saya dengan satu ayat ni yang saya pegang dari dulu hingga kini. 

'Di dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain yang Allah selitkan pada kita . Rezeki itu bukan milik kita seorang ,  ada yang lebih memerlukan'

Satu lagi saya berpegang pada prinsip yang satu ni... 

'Hati saya ,  saya boleh pujuk tetapi hati orang sukar untuk kita jaga dan pujuk' 

Saya lebih banyak bersikap beralah demi melihat orang sekeliling tersenyum gembira. Saya juga akan sedaya upaya membuat status gila-gila di fb saya untuk gembirakan semua orang yang membacanya dan terasa tertarik untuk masuk komen di wall saya. Bagi saya adalah satu kepuasan apabila saya dapat melihat orang disekitar saya tersenyum kegembiraan. Saya rasa seronok dapat buat orang tertawa hinggakan terkadang hati saya sendiri terusik duka serta kecewa tapi saya tak ambil peduli sangat. Saya dapat memujuk hati saya dalam masa 5 - 10 minit saja untuk kembali tersenyum kerana saya tidak mahu berlama melayan rasa sedih ,  kecewa tersebut. 

Melihat kebahagiaan orang membuatkan hati saya tenang ,  bagi saya apa salahnya saya berkorban demi mereka kerana waktu saya tidak lama mana bersisa dengan pelbagai penyakit saya hidapi .  Entahkan esok atau lusa siapa tahu ,  tapi sekurangnya saya dapat meninggalkan nama dan kegembiraan pada mereka untuk mereka sentiasa mengingati saya dan mendoakan saya kelak jika saya telah tiada... 

Fb : Reyna Arryssa
Jalan Khusairi 10 ,  Taman Aneka ,  Sg. Bertek ,  Klang
21/9/22 
8.20pm


Comments

Post a Comment

Popular Posts